Durratun Naurah, nama yang sering
meniti di bibir rakan sekelasnya yang lain. Dia yang dahulunya ceria kini
seperti memendam rasa seorang diri.
Sewaktu Naurah bergegas untuk ke
perpustakaan sewaktu rehat, Naurah terdengar perbualan rakan sekuliahnya yang
lain.
“Eh, kautahu kenapa Naurah tu senyap
semacam je aku lihat?”
“Macam kau tak tahu kan perangai
Naurah, dia kan nak bersendiri”, balas rakannya dalam nada penuh sindiran.
Naurah sering berseorangan dalam
meniti hari-harinya di kampus. Dia ibarat disisihkan daripada rakan-rakannya
sendiri. Sungguh Naurah tidak faham mengapa. Seolah-olah dia telah melakukan
dosa besar yang tak dapat diampunkan lagi oleh manusia.
“Ya Allah, aku sebenarnya seorang diri
dalam menjalani kehidupan di sini. Berat sungguh dugaan yang Kauberikan,”
luahnya di dalam hati.
Hati manusia mana yang sanggup dilukai
dengan kata-kata sebegitu rupa. Naurah yang dilihat sangat ramah dengan
senyuman dahulu kini seperti kayu tunggal yang kaku. Dirinya yang selalu
menjadi tempat untuk bersama bergelak ketawa dengan sahabat handai kini menjadi
pendiam.
Bukan Naurah tidak berkecil hati
dengan kata-kata itu. Pernah. Bahkan selalu! Dia seumpama hilang kata-kata
apabila mendengar perbualan itu. Naurah terus melangkah ke perpustakaan dengan
langkah yang longlai. Mukanya sugul.
…
Pada suatu petang, Naurah dan beberapa
orang rakannya melepaskan lelah seharian menelaah pelajaran di kedai makan.
Sementara menunggu makanan yang dipesan dihidangkan, salah seorang rakan Naurah
meluahkan kata-kata dalam nada yang kurang enak didengar Naurah.
“Naurah, ana lihat enti tidak memberi
komitmen dalam melaksanakan tugasan yang pensyarah berikan. Enti tak
seriuskah?” rakan sekuliahnya menegur.
“Kenapa enti kata demikian pada ana?”
tanya Naurah kembali pada sahabatnya yang menegur itu.
“Ana dapat aduan daripada rakan kita
yang enti tak memberi kerjasama sepenuhnya dalam tugasan, enti tahu tak perkara
itu menjejaskan prestasi dan markah sahabat enti sendiri?”
“Jujur, ana tak faham. Cuba terangkan
sebaiknya,” rayu Naurah.
Naurah dengan teliti mendengar segala
teguran itu dengan berat hati. Naurah agak kecewa kerana segala teguran itu
sepatutnya diperkatakan sewaktu perkara itu berlaku. Bukan ketika sudah lama
perkara itu terjadi. Teguran itu juga berlaku di hadapan sahabatnya yang lain.
Semakin parah hati Naurah apabila
mendapati perkara ini berlaku kerana cakap belakang. Hati mana yang tidak
terluka jika sanggup sahabat sendiri bercakap belakang akan dirinya. Naurah
ketika itu menangis, Naurah mati akal dalam mempertahankan dirinya. Dia amat
sedih. Pilu.
Sewaktu kembali ke kampus, Naurah
seakan mahu pengsan. Namun digagahkan juga diri untuk melangkah menuju ke
kamarnya.
Malam itu, Naurah menangis
sepuas-puasnya. Naurah tidak mampu menahan sebaknya seorang diri. Dia yang
mampu bersabar kini menjadi insan yang sangat rapuh dan lemah.
“Allah, aku tidak menyangka sahabat
yang aku sanjung, sahabat yang kuhormati, menegur aku di khalayak sahabatku
yang lain. Aku tidak mampu menerima teguran itu dengan tabah. Aku sedih, kenapa
ada yang sanggup berkata belakang sedangkan perkara berkaitan tugasan itu boleh
dibincang bersama,” rintih Naurah seorang diri.
Kesedihan itu semakin tidak
tertanggung. Naurah berteleku di atas sejadah, merintih dan terus merintih. Dia
amat sedih dengan perkara yang berlaku petang tadi. Sungguh dia lemah. Malam
itu menjadi saksi betapa dirinya sangat dekat pada-Nya.
…
Hujung minggu tiba di saat Naurah
meniti hari-hari yang sangat perit. Tidak sanggup rasanya Naurah melihat raut
wajah sahabatnya yang menegur dirinya tempoh hari.
Naurah pada mulanya ingin ke karnival
remaja yang diadakan berdekatan kampusnya membatalkan hasrat tersebut. Dia
berasa dia perlu untuk keluar dari kampusnya setelah peristiwa yang perit
berlaku.
Pagi Sabtu yang damai, Naurah mencapai
telefon bimbitnya, mendial sahabat karibnya, Hafizah di Kuala Lumpur untuk
menyatakan hasrat hatinya,
“Assalamualaikum Izah, ni Naurah. Saya
menganggu ketenangan pagi awak ke?” tanya Naurah tertib.
Dia takut menganggu pagi hujung minggu
sahabatnya. Apatah lagi Hafizah merupakan siswi yang sangat sibuk di kampusnya.
Tentulah hujung minggu digunakan masanya untuk beristirahat.
“Waalaikumussalam, Naurah. Eh,
takdalah. Saya baru lepas bersarapan ni. Kenapa awak telefon saya pagi-pagi ni?
Ada apa-apa yang saya boleh tolong?” tanya kembali Hafizah pada Naurah.
“Saya nak ke Kuala Lumpur hari ini jumpa
awak boleh?, luah Naurah.
Ketika Naurah menyatakan hasratnya
itu, Hafizah sedang menyirup air teh panas sebagai penutup bagi dirinya bersarapan.
Tersembur kembali air yang diminumnya.
“Apa Naurah? Hari ini? Eh boleh
sangat-sangat. Saya lagi suka. Tapi bukan awak nak pergi ke karnival remaja ke
hari ini?”
“Saya tak jadi pergi Izah, saya tak
boleh tinggal di sini lagi. Saya mesti keluar dari sini! Mesti!”
“Okay, okay. Nanti saya masakkan
sesuatu yang istimewa untuk awak! Tak sabar menanti kehadiran awak!”
…
Sampai sahaja Naurah di hadapan rumah
sewa Hafizah di Taman Prima Gombak, Naurah menitiskan air matanya tanda
kerinduan pada Hafizah, sahabat yang sangat memahami dirinya.
“Assalamualaikum, Izah.” salam diberi
dengan penuh kelembutan.
“Waalaikumu..” belum sempat Hafizah
menjawab, Naurah terus meluru Hafizah dan memeluknya.
“Izah, saya rindu awak! Saya rindu
awak sangat-sangat.” Ketika ini Naurah tidak menahan sebak di dadanya apabila
bertemu dengan Hafizah.
“Eh Naurah rindu kita la,” Hafizah
mengusik manja sahabatnya.
“Mari masuk ke dalam dulu, saya
masakkan Kari Ayam Berapi khas untuk awak memandangkan rakan serumah saya yang
lain ada urusan di luar, jadi eloklah awak jadi peneman saya minggu ni. Dah dah
tak nak menangis, nanti apa kata orang pula,” Hafizah mempelawa Naurah sambil
mengesatkan air mata yang menitis di pipi gebu Naurah.
…
Sambil menikmati juadah yang
disediakan Hafizah, Hafizah memulakan perbualannya walaupun dilihat Naurah
khusyuk menjamah makanan tersebut.
“Ha Naurah, alang-alang awak ada di
sini, kolej saya ada buat program kuliah talaqqi dengan Ustaz Sobri. Best tau!
Awak teman saya boleh?” pujuk Hafizah.
“Ustaz Sobri yang selalu keluar di
kaca televisyen tu ye? Boleh sangat tau. Saya pun teringin nak pergi dengar
kuliah ustaz tu sebenarnya!” Naurah membalas.
“Okay, malam ni lepas Maghrib, kita
terus bersiap ke sana ye! Terima kasih Naurah,” melirik senyuman Hafizah kerana
dia tidak berkeseorangan pada malam itu untuk ke kuliah di kolejnya.
“Sama-sama, Izah. Kalau program macam
ni kan saya memang suka,” Naurah menunjukkan simbol ibu jari bagus pada
Hafizah. Terubat hatinya setelah menerima ujian yang dilalui di kampusnya. Seolah-olah
hilang semua masalah yang dihadapi.
Sebenarnya ada perkara yang Hafizah
ingin lakukan pada Naurah. Suatu kejutan yang mungkin mengembalikan ukiran
senyuman pada sahabatnya. Bukan Hafizah tidak tahu, segala masalah yang
dihadapi pada Naurah seperti berada dalam koceknya. Tiada suatu yang terlepas.
Bagi dirinya biarlah kunjungan Naurah kali ini ke Kuala Lumpur memulihkan
semangatnya yang hilang itu.
“Naurah, harapnya dirimu bertabah,” hati
kecil Hafizah berbisik.
…
Malam itu, Naurah dan Hafizah berpimpinan
tangan menuju ke tempat kuliah Ustaz Sobri.
Namun malam itu Naurah berasa tidak
kena. Naurah terpaku seketika apabila melihat seseorang dikenalinya berada
dalam kuliah tersebut.
“Muaz? Hafizah, sebenarnya awak
sengaja bawa saya ke sini sebab awak tahu Muaz ada kan?” tanya Naurah dengan
nada mendesak.
“Ya Naurah, saya memang tahu dia akan
mengikuti kuliah ni sebab itu saya ajak awak! Kenapa? Tak suka?” ujar Hafizah
sambil menguntumkan senyuman.
Muaz, jejaka yang mendapat tempat di
hati Naurah walaupun Naurah tidak mengenalinya secara mendalam malahan Muaz
langsung tidak mengenali dirinya juga. Perasaan itu berputik kerana Hafizah
sering memperkatakan cara Muaz bekerja serta dia seorang yang penuh komited
dalam tugasan.
Dalam masa yang sama, Hafizah
mempunyai hajat untuk menyatukan Naurah serta Muaz dalam ikatan yang sah
melihat pada watak yang ada pada keduanya, dirasakan sama padan dan karakter
yang sangat sesuai.
“Sejak bila awak ni pandai menemukan
orang ni ha? Dah la saat-saat berkuliah! Tak baik betul awak!” Naurah mencubit
lembut lengan Hafizah. Nyata sahabatnya berjaya mengukirkan senyuman di
wajahnya.
“Eh, Naurah. Awak ni dah janji dengan
Muaz ye nak pakai baju warna sama?” usik Hafizah.
“Astaghfirullah, mana ada awak! Ni
kebetulan kan? Jangan pandai-pandai kata saya nak sama warna dengan dia. Dia
pun tak kenal saya, saya pun mana pernah berhubung dengan dia.” jawab Naurah.
“Baiklah Puan Naurah. Opss, Cik
Naurah. Marilah kita fokus dengan kuliah ni ye.” Namun Hafizah tahu pada saat
berkuliah itu, mata sahabatnya melirik pada insan yang bernama Muaz itu. Itulah
kali pertama saatnya Naurah melihat wajah Muaz yang sebelum ini hanya ditatap
di alam maya sahaja.
“Haip, Naurah. Fokus. Kalau terlalu
suka akan kehadiran Muaz dalam kuliah ni, baik keluar dari kuliah ni sekarang”,
getus hati Naurah.
Sentap. Terus dia beristighfar.
Sepanjang talaqqi yang Naurah ikuti,
ternyata curahan ilmu daripada Ustaz Sobri sangat bermakna buat dirinya. Seolah-olah
sudah lama Naurah tidak mengikuti kuliah sebegitu rupa.
Namun dalam dirinya, suatu perasaan
yang tidak mampu dirungkai di bibir. Hati diselubungi keresahan.
“Ya Allah, apakah makna ini semua”,
hati Naurah bermonolog.