Anugerah Buat Naurah

Durratun Naurah, nama yang sering meniti di bibir rakan sekelasnya yang lain. Dia yang dahulunya ceria kini seperti memendam rasa seorang diri. 

Sewaktu Naurah bergegas untuk ke perpustakaan sewaktu rehat, Naurah terdengar perbualan rakan sekuliahnya yang lain.

“Eh, kautahu kenapa Naurah tu senyap semacam je aku lihat?”

“Macam kau tak tahu kan perangai Naurah, dia kan nak bersendiri”, balas rakannya dalam nada penuh sindiran.

Naurah sering berseorangan dalam meniti hari-harinya di kampus. Dia ibarat disisihkan daripada rakan-rakannya sendiri. Sungguh Naurah tidak faham mengapa. Seolah-olah dia telah melakukan dosa besar yang tak dapat diampunkan lagi oleh manusia.

“Ya Allah, aku sebenarnya seorang diri dalam menjalani kehidupan di sini. Berat sungguh dugaan yang Kauberikan,” luahnya di dalam hati.

Hati manusia mana yang sanggup dilukai dengan kata-kata sebegitu rupa. Naurah yang dilihat sangat ramah dengan senyuman dahulu kini seperti kayu tunggal yang kaku. Dirinya yang selalu menjadi tempat untuk bersama bergelak ketawa dengan sahabat handai kini menjadi pendiam.

Bukan Naurah tidak berkecil hati dengan kata-kata itu. Pernah. Bahkan selalu! Dia seumpama hilang kata-kata apabila mendengar perbualan itu. Naurah terus melangkah ke perpustakaan dengan langkah yang longlai. Mukanya sugul.
Pada suatu petang, Naurah dan beberapa orang rakannya melepaskan lelah seharian menelaah pelajaran di kedai makan. Sementara menunggu makanan yang dipesan dihidangkan, salah seorang rakan Naurah meluahkan kata-kata dalam nada yang kurang enak didengar Naurah.

“Naurah, ana lihat enti tidak memberi komitmen dalam melaksanakan tugasan yang pensyarah berikan. Enti tak seriuskah?” rakan sekuliahnya menegur.

“Kenapa enti kata demikian pada ana?” tanya Naurah kembali pada sahabatnya yang menegur itu.

“Ana dapat aduan daripada rakan kita yang enti tak memberi kerjasama sepenuhnya dalam tugasan, enti tahu tak perkara itu menjejaskan prestasi dan markah sahabat enti sendiri?”

“Jujur, ana tak faham. Cuba terangkan sebaiknya,” rayu Naurah.

Naurah dengan teliti mendengar segala teguran itu dengan berat hati. Naurah agak kecewa kerana segala teguran itu sepatutnya diperkatakan sewaktu perkara itu berlaku. Bukan ketika sudah lama perkara itu terjadi. Teguran itu juga berlaku di hadapan sahabatnya yang lain.

Semakin parah hati Naurah apabila mendapati perkara ini berlaku kerana cakap belakang. Hati mana yang tidak terluka jika sanggup sahabat sendiri bercakap belakang akan dirinya. Naurah ketika itu menangis, Naurah mati akal dalam mempertahankan dirinya. Dia amat sedih. Pilu.

Sewaktu kembali ke kampus, Naurah seakan mahu pengsan. Namun digagahkan juga diri untuk melangkah menuju ke kamarnya.

Malam itu, Naurah menangis sepuas-puasnya. Naurah tidak mampu menahan sebaknya seorang diri. Dia yang mampu bersabar kini menjadi insan yang sangat rapuh dan lemah.

“Allah, aku tidak menyangka sahabat yang aku sanjung, sahabat yang kuhormati, menegur aku di khalayak sahabatku yang lain. Aku tidak mampu menerima teguran itu dengan tabah. Aku sedih, kenapa ada yang sanggup berkata belakang sedangkan perkara berkaitan tugasan itu boleh dibincang bersama,” rintih Naurah seorang diri.

Kesedihan itu semakin tidak tertanggung. Naurah berteleku di atas sejadah, merintih dan terus merintih. Dia amat sedih dengan perkara yang berlaku petang tadi. Sungguh dia lemah. Malam itu menjadi saksi betapa dirinya sangat dekat pada-Nya.
Hujung minggu tiba di saat Naurah meniti hari-hari yang sangat perit. Tidak sanggup rasanya Naurah melihat raut wajah sahabatnya yang menegur dirinya tempoh hari.

Naurah pada mulanya ingin ke karnival remaja yang diadakan berdekatan kampusnya membatalkan hasrat tersebut. Dia berasa dia perlu untuk keluar dari kampusnya setelah peristiwa yang perit berlaku.

Pagi Sabtu yang damai, Naurah mencapai telefon bimbitnya, mendial sahabat karibnya, Hafizah di Kuala Lumpur untuk menyatakan hasrat hatinya,

“Assalamualaikum Izah, ni Naurah. Saya menganggu ketenangan pagi awak ke?” tanya Naurah tertib.

Dia takut menganggu pagi hujung minggu sahabatnya. Apatah lagi Hafizah merupakan siswi yang sangat sibuk di kampusnya. Tentulah hujung minggu digunakan masanya untuk beristirahat.

“Waalaikumussalam, Naurah. Eh, takdalah. Saya baru lepas bersarapan ni. Kenapa awak telefon saya pagi-pagi ni? Ada apa-apa yang saya boleh tolong?” tanya kembali Hafizah pada Naurah.

“Saya nak ke Kuala Lumpur hari ini jumpa awak boleh?, luah Naurah.

Ketika Naurah menyatakan hasratnya itu, Hafizah sedang menyirup air teh panas sebagai penutup bagi dirinya bersarapan. Tersembur kembali air yang diminumnya.

“Apa Naurah? Hari ini? Eh boleh sangat-sangat. Saya lagi suka. Tapi bukan awak nak pergi ke karnival remaja ke hari ini?”

“Saya tak jadi pergi Izah, saya tak boleh tinggal di sini lagi. Saya mesti keluar dari sini! Mesti!”

“Okay, okay. Nanti saya masakkan sesuatu yang istimewa untuk awak! Tak sabar menanti kehadiran awak!”
Sampai sahaja Naurah di hadapan rumah sewa Hafizah di Taman Prima Gombak, Naurah menitiskan air matanya tanda kerinduan pada Hafizah, sahabat yang sangat memahami dirinya.

“Assalamualaikum, Izah.” salam diberi dengan penuh kelembutan.

“Waalaikumu..” belum sempat Hafizah menjawab, Naurah terus meluru Hafizah dan memeluknya.

“Izah, saya rindu awak! Saya rindu awak sangat-sangat.” Ketika ini Naurah tidak menahan sebak di dadanya apabila bertemu dengan Hafizah.

“Eh Naurah rindu kita la,” Hafizah mengusik manja sahabatnya.

“Mari masuk ke dalam dulu, saya masakkan Kari Ayam Berapi khas untuk awak memandangkan rakan serumah saya yang lain ada urusan di luar, jadi eloklah awak jadi peneman saya minggu ni. Dah dah tak nak menangis, nanti apa kata orang pula,” Hafizah mempelawa Naurah sambil mengesatkan air mata yang menitis di pipi gebu Naurah.

Sambil menikmati juadah yang disediakan Hafizah, Hafizah memulakan perbualannya walaupun dilihat Naurah khusyuk menjamah makanan tersebut.

“Ha Naurah, alang-alang awak ada di sini, kolej saya ada buat program kuliah talaqqi dengan Ustaz Sobri. Best tau! Awak teman saya boleh?” pujuk Hafizah.

“Ustaz Sobri yang selalu keluar di kaca televisyen tu ye? Boleh sangat tau. Saya pun teringin nak pergi dengar kuliah ustaz tu sebenarnya!” Naurah membalas.

“Okay, malam ni lepas Maghrib, kita terus bersiap ke sana ye! Terima kasih Naurah,” melirik senyuman Hafizah kerana dia tidak berkeseorangan pada malam itu untuk ke kuliah di kolejnya.

“Sama-sama, Izah. Kalau program macam ni kan saya memang suka,” Naurah menunjukkan simbol ibu jari bagus pada Hafizah. Terubat hatinya setelah menerima ujian yang dilalui di kampusnya. Seolah-olah hilang semua masalah yang dihadapi.

Sebenarnya ada perkara yang Hafizah ingin lakukan pada Naurah. Suatu kejutan yang mungkin mengembalikan ukiran senyuman pada sahabatnya. Bukan Hafizah tidak tahu, segala masalah yang dihadapi pada Naurah seperti berada dalam koceknya. Tiada suatu yang terlepas. Bagi dirinya biarlah kunjungan Naurah kali ini ke Kuala Lumpur memulihkan semangatnya yang hilang itu.

“Naurah, harapnya dirimu bertabah,” hati kecil Hafizah berbisik.

Malam itu, Naurah dan Hafizah berpimpinan tangan menuju ke tempat kuliah Ustaz Sobri.

Namun malam itu Naurah berasa tidak kena. Naurah terpaku seketika apabila melihat seseorang dikenalinya berada dalam kuliah tersebut.

“Muaz? Hafizah, sebenarnya awak sengaja bawa saya ke sini sebab awak tahu Muaz ada kan?” tanya Naurah dengan nada mendesak.

“Ya Naurah, saya memang tahu dia akan mengikuti kuliah ni sebab itu saya ajak awak! Kenapa? Tak suka?” ujar Hafizah sambil menguntumkan senyuman.

Muaz, jejaka yang mendapat tempat di hati Naurah walaupun Naurah tidak mengenalinya secara mendalam malahan Muaz langsung tidak mengenali dirinya juga. Perasaan itu berputik kerana Hafizah sering memperkatakan cara Muaz bekerja serta dia seorang yang penuh komited dalam tugasan.

Dalam masa yang sama, Hafizah mempunyai hajat untuk menyatukan Naurah serta Muaz dalam ikatan yang sah melihat pada watak yang ada pada keduanya, dirasakan sama padan dan karakter yang sangat sesuai.

“Sejak bila awak ni pandai menemukan orang ni ha? Dah la saat-saat berkuliah! Tak baik betul awak!” Naurah mencubit lembut lengan Hafizah. Nyata sahabatnya berjaya mengukirkan senyuman di wajahnya.

“Eh, Naurah. Awak ni dah janji dengan Muaz ye nak pakai baju warna sama?” usik Hafizah.

“Astaghfirullah, mana ada awak! Ni kebetulan kan? Jangan pandai-pandai kata saya nak sama warna dengan dia. Dia pun tak kenal saya, saya pun mana pernah berhubung dengan dia.” jawab Naurah.

“Baiklah Puan Naurah. Opss, Cik Naurah. Marilah kita fokus dengan kuliah ni ye.” Namun Hafizah tahu pada saat berkuliah itu, mata sahabatnya melirik pada insan yang bernama Muaz itu. Itulah kali pertama saatnya Naurah melihat wajah Muaz yang sebelum ini hanya ditatap di alam maya sahaja.

“Haip, Naurah. Fokus. Kalau terlalu suka akan kehadiran Muaz dalam kuliah ni, baik keluar dari kuliah ni sekarang”, getus hati Naurah.


Sentap. Terus dia beristighfar.
Sepanjang talaqqi yang Naurah ikuti, ternyata curahan ilmu daripada Ustaz Sobri sangat bermakna buat dirinya. Seolah-olah sudah lama Naurah tidak mengikuti kuliah sebegitu rupa.

Namun dalam dirinya, suatu perasaan yang tidak mampu dirungkai di bibir. Hati diselubungi keresahan.


“Ya Allah, apakah makna ini semua”, hati Naurah bermonolog.

You Might Also Like

0 comments